Isu #19: Hakim Yang Masuk Neraka

Lagi berkaitan isu semasa  (^-^)…

________________________________

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Umum tertanya-tanya mengenai kedudukan golongan ‘hakim’ khususnya di Malaysia, ramai daripada kalangan mereka sama ada secara sedar ataupun tidak terlibat dalam menjatuhkan hukuman kepada orang tidak bersalah dan membebaskan golongan yang bersalah.

Dalam isu Altantuya sebagai contoh, majoriti rakyat Malaysia percaya kes tersebut ada hubungan dengan orang yang berprofil tinggi, namun ia hamper kepada penutupan kes, sedangkan ramai orang yang tidak bersalah yang belum disabitkan di mahkamah, tetapi disumbatkan dalam tahanan seperti ISA selama beberapa tahun mengikut kehendak pihak tertentu.

Ada sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang menegaskan bahawa antara tiga hakim yang menjalankan tugas masing-masing, dua daripada mereka akan masuk neraka dan seorang sahaja yang akan masuk syurga. Persoalannya, adakah hadis ini benar? Jika benar, mohon dijelaskan supaya ia dapat membuka mata banyak pihak terutama golongan pemerintah yang semakin jauh dari Islam.

 

JAWAPAN:

Hakim mempunyai peranan dan martabat yang sangat penting dalam masyarakat. Keadilan banyak bergantung kepada ketelusan, integriti dan kesaksamaan mereka dalam proses penghakiman dan kejituan mereka ketika menjatuhkan hukuman. Keadilan juga bergantung kepada darjat kesaksamaan sesuatu pola undang-undang yang digunapakai atau dikuatkuasakan. Semakin tinggi kebijaksanaan perumus sesuatu pola perundangan, semakin tinggi merit dan nilai keadilan yang dapat dinikmati oleh khalayak rakyat dan orang ramai.

Meskipun manusia dengan segala kebijaksanaan dan kepakaran mereka bersama boleh menampilkan suatu kebijaksanaan menghasilkan pola perundangan yang baik, namun Allah S.W.T sebagai Tuhan yang mencipta manusia jauh lebih bijaksana dan jauh lebih adil berbanding manusia; walau betapa bijak dan pakar mereka sekalipun. Sebab itu Allah S.W.T menegaskan dalam firmanNya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisiNya.”

An-Nisa’: 40

Allah S.W.T menegaskan lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.”

Yunus: 44

Penegasan hal ini dapat dilihat dalam surah At-Taubah ayat 70, Al-Ankabut ayat 40, Ar-Rum ayat 9, Al-Imran ayat 117 dan banyak lagi ayat lain yang menegaskan kemutlakan keadilan dan kebijaksanaan Allah S.W.T melalui ketentuan perundanganNya yang sangat adil.

Namun realitinya, sebahagian umat Islam sudah tidak lagi yakin bahawa undang-undang Allah S.W.T yang adil itu boleh memberikan keadilan. Mereka lebih yakin undang-undang ciptaan manusia lebih sesuai dan adil. Oleh itu, hakim-hakim mereka melaksanakan tuntutan undang-undang ciptaan mereka dengan harapan akan mendapatkan keadilan.  Meskipun undang-undang tersebut zalim dari persepsi syariat, namun mereka tetap mendambakan keadilan atau kadar kezaliman yang paling minimum dengan undang-undang ciptaan manusia yang serba berkepentingan dan memihak kepada orang yang berkuasa dan berpengaruh. Sebab itu mereka tidak mungkin bahagia di dunia, apatah lagi di akhirat.

Luahan kekesalan mengenai undang-undang ISA dan perlaksanaan undang-undang yang tidak adil dinyatakan dengan jelasnya oleh saudara Zaid Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau menegaskan:

Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada kerajaan kelihatan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap kerajaan. Bagaimana inidividu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.

(Lihat surat terbuka saudara Zaid Ibrahim secara lengkap dalam pautan berikut:http://shura-asia.org/shura/modules.php?name=News&file=article&sid=256)

Pada tahap ini nampaknya manusia berkenaan masih mengharapkan keadilan atau kezaliman nisbi dengan perundangan yang sangat tidak lengkap, tidak adil dan kurang berperikemanusiaan. Bilakah perumus undang-undang, rakyat dan hakim-hakim Muslim akan kembali kepada keadilan dan pola perundangan Ilahi? Jawapannya, sudah tentu bergantung kepada sampai di mana seluruh rakyat dan elit politik mereka mendapat keinsafan dan keyakinan semula terhadap keunggulan pola sistem perundangan Allah… sampai di mana mereka mahu kembali dengan tuntas kepada fitrah dan agama fitrah iaitu Islam dan perundangannya. Allah S.W.T menyesali kedegilan mereka dengan firmanNya:

Maksudnya: “Masih belum tibakah lagi masanya untuk orang yang beriman itu khusyuk dan tunduk hatinya mengingati Allah dan (mematuhi) kebenaran yang telah diturunkan (oleh Allah)? Juga untuk tidak bersikap seperti golongan ahli kitab sebelum ini. Oleh kerana terlalu lama (mengalpakan ajaran Tuhan) hingga hati mereka menjadi keras. Manakala kebanyakan mereka adalah golongan yang fasiq.”

Al-Hadid: 16

Keunggulan dan keadilan pola perundangan Islam sebenarnya telah dipudarkan oleh keadaan sosiopolitik yang muram di samping imej umat Islam yang diburukkan oleh media massa Timur dan Barat; sebagai pengganas dan perosak peradaban manusia. Serangan budaya dan ketenteraan yang dilancarkan kepada beberapa buah negara dan hampir ke seluruh dunia Islam ini telah memudarkan keyakinan sebahagian umat Islam sendiri terhadap ketelusan pola perundangan Ilahi. Sebab itu perjuangan untuk mengangkat martabat pola perundangan Allah adalah satu kewajipan semua umat Islam melalui usaha menobatkan sistem politik dan perundangan Islam di samping mengangkat dan mengamalkan nilai peradaban Islam yang unggul.

Pola perundangan Tuhan yang adil ini juga sebenarnya menguntungkan semua rakyat yang bukan Islam dan lain-lain kerana sifat Islam itu sendiri sebagai agama pembawa rahmat dan keuntungan dunia akhirat kepada manusia dan jin (seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107). Sebab itu, nilai dan pola ajaran Islam memang boleh menjadi asas dan teras peradaban manusia sejagat.

Mengenai hakim yang dimaksudkan dalam hadis sahih ialah hakim yang melaksanakan undang-undang syariah yang adil. At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Hakim itu ada tiga kategori. Satu kategori hakim masuk syurga, manakala dua kategori hakim lagi masuk neraka. Hakim yang berilmu pengetahuan dan kemudian mengadili (kes) dengan keilmuannya maka dia masuk syurga. Manakala hakim yang mengadili tanpa ilmu (tentang kes yang diadilinya) maka dia masuk neraka. Begitu juga hakim jahil yang mengadili kes berteraskan kejahilannya maka dia juga masuk neraka.”

At-Tirmidzi: 1244

Dalam perlaksanaan pola perundangan yang adil pun hanya satu kategori hakim yang dapat masuk syurga, maka apatah pula halnya dalam pola perundangan yang zalim. Pastinya tiada hakim yang selamat. Bahkan semuanya ke neraka, wal’iyazubillah (mohon berlindung dengan Allah).

Tanggungjawab hakim tidak berakhir dengan menjatuhkan hukuman di dunia ini sahaja. Malah hakim akan dibawa ke hadapan pengadilan Ilahi di akhirat kelak. Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Dan Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, pada hari Kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika amalnya itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk dihitung: dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

Al-Anbiya’: 47

Dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-6 Allah S.W.T menegaskan:

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?”

Al-Mutaffifin : 1-6

Allah S.W.T mengingatkan kepada para hakim yang zalim dan pemerintah yang jahat dan kejam menerusi surah Ibrahim ayat 42-43:

Maksudnya: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Allah hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka.  Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.”

Ibrahim : 42-43

(Rintihan dan penyesalan orang zalim tersebut ketika berhadapan dengan azab Allah di akhirat kelak dijelaskan pada ayat 44 hingga ayat 52, surah Ibrahim).

Hakim-hakim ini sebenarnya hanya akan selamat apabila pola perundangan yang mereka praktikkan dalam perhakiman mereka ialah pola perundangan Ilahi dan mereka menurutinya dengan penuh kejujuran dan berintegriti. Perkara ini pula hanya akan terhasil sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan negara dengan kembalinya kepimpinan negara kepada golongan yang memihak kepada Islam dan perjuangan Islam serta mereka yang mahu meninggalkan fahaman kebangsaan sempit dan fahaman sekularisme yang sia-sia.

Bagi hakim dan manusia yang ingin tunduk kepada perundangan yang adil, Allah S.W.T menjanjikan ganjaran berikut:

Maksudnya: “Dan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, mereka itu seperti orang Siddiqiin dan orang yang mati Syahid di sisi Allah; bagi mereka pahala dan cahaya mereka; dan orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”

Al-Hadid : 19

Ya Allah, selamatkanlah kami semua daripada hakim-hakim dan pemerintah yang zalim lagi aniaya. Selamatkan kami semua Ya Allah, daripada api neraka.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: