Isu #33: Masalah Masyarakat Yang Tidak Terdidik Dengan Islam

Assalamualaikum… Entri nombor #33 ini ialah atas pilihan sahabat, Akashah Mohd Suri. Walau apa pun, fahami kehendak soalan yang dikeutarakan dan input penting dalam jawapan yang diberikan.

____________

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Saya seorang ahli jemaah masjid dan surau berdekatan dengan rumah saya, saya juga adalah seorang yang amat ambil berat, prihatin serta peka terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat, khususnya yang melinatkan persoalan agama.

                Kadang-kadang isu yang berlaku itu apabila dilihat dari sudut agama, ia benar-benar bercanggah dengan ajaran Islam, sebagai contoh baru-baru ini terdapat seorang artis wanita Melayu yang sanggup berkorban dengan membotakkan kepalanya demi menghidupkan serta menghayati watak dalam filem yang dilakonkannnya. Ada juga seorang artis wanita Melayu yang diundang ke majlis yang dianjurkan oleh sebuah syarikat arak untuk bernyanyi dalam satu pesta yang dinamakan ‘Guinness Black Party Series’ yang telah diadakan pada 16 Jun 2007 di Arena of Stars, Genting Highland seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun pertengahan Jun lalu (2007).

                Tidak kurang juga ada seorang artis lelaki Melayu popular apabila ditanya wartawan TV3 pendapatnya mengenai penganjuran Jom Heboh di Danga Bay pada 9 dan 10 Jun lalu (2007), di mana dia mengatakan, kita perlu melihat dari sudut positif penganjuran konsert Jom Heboh, sedangkan dalam laporan Harian Metro pada Januari 2006 sehari selepas penganjuran konsert tersebut, para pegawai RELA, Jabatan Agama Islam Johor dan Dewan Bandaraya Johor Bahru telah menangkap 70 pasangan termasuk di bawah umur, mereka ditahan dan ibu bapa mereka dipanggil untuk diberikan penjelasan dan memberikan penjelasan mengapa anak mereka ditahan.

                Apakah umat Islam sudah lupa laporan tersebut? Tidakkah Mufti Besar Perak, Dato’ Dr. Hj. Harussani Zakaria dengan lantang menyatakan bahawa Jom Heboh atau apa nama pun ia hukumnya tetap haram, nampaknya CEO TV3 cukup berminat menganjurkannya, ia bermaksud dia menyuburkan maksiat, tambahan pula ia diluluskan oleh para pemimpin kerajaan negeri yang dikuasai Barisan Nasional.

                Persoalannya di sini, mengapa aktiviti maksiat terus berkembang tanpa sekatan, adakah ia suatu strategi BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-12, atau BN memang parti maksiat, ataukah manusia sudah tidak kisah lagi dengan agama mereka?

 

JAWAPAN:

Sebab paling utama mengapa maksiat terus berkembang adalah kerana umat semakin meminggirkan diri daripada tuntutan agama. Apabila faham kebendaan menguasai pemikiran rakyat kerana disogok saban hari dengan rangsangan hidup serba kebendaan demi mencari sebanyak mungin keseronokan, kelazatan, kekayaan dan kekuasaan oleh media massa dan kecenderungan pihak berkuasa maka rakyat semakin tenggelam dalam menyahut panggilan nafsu dan sifat tamak harta dan kuasa.

Sebab-sebab ini kalau dicerakinkan lagi, kita akan mendapati bahawa sebab pertamanya adalah kelemahan keyakinan dan akidah; bahawa agama adalah penting dan perlu dalam kehidupan manusia. Hari ini di bawah pengaruh globalisasi dan perang kuasa besar terhadap pengganas yang rata-rata dianggap lahir daripada kumpulan umat Islam dan negara umat Islam; di mana agama, Tuhan dan Rasul orang Islam, bahkan ulama dan sekolah-sekolah agamanya dianggap sebagai sarang pengganas. Sebab itu muncul kini semangat anti Islam dan institusi serta para pemimpin agama Islam. Adalah lumrah di bibir kalangan para pemimpin Melayu sekular dakwaan bahawa agama tidak boleh dibawa ke dalam politik, bahawa masjid dan imamnya mesti memisahkan agama dan ibadah daripada politik dan sebagainya. Seruan-seruan seperti ini mendedahkan hakikat bahawa para pendokong Islam Hadhari kini sudah meninggalkan dakwaan projek Islam Hadhari mereka sebagai bersifat ‘menyeluruh’. Sebaliknya sudah dinyatakan sekatan agama Islam daripada amalan politik dan pemerintahan. Mereka kembali kepada fitrah semulajadi seorang sekularis iaitu memisahkan agama Islam daripada beberapa bidang kehidupan kerana keyakinan dan akidah mereka bahawa agama tidak boleh disertakan dalam amalan politik dan pemerintahan. Dalam masa yang sama kita melihat seluruh institusi agama dan kumpulan pengaruh dikuasai oleh politikus berkenaan dengan kefahaman politik sekular mereka. Dari masjid hinggalah kepada sekolah agama, Jabatan Agama dan sebagainya terus dikuasai atau dipantau untuk kepentingan parti politik parti sekular mereka.

Berikutan dengan itu pemikiran rakyat dituba dan diliarkan daripada mematuhi dan mencintai agama. Mereka ditawarkan malah dirasuah dengan kekayaan, pembangunan, janji-janji pekerjaan, pinjaman dan sebagainya. Inilah yang menjadi asas kepada baiah atau pemilihan kepimpinan negeri atau Negara. Padahal Rasulullah telah menjelaskan bahawa barangsiapa memilih pemimpin kerana perhitungan kebendaan dan wang ringgit maka orang yang demikian sangat dimurkai oleh Allah. Dalam sebuah hadis dinyatakan;

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh pun kepadanya. Allah tidak akan menyucikan dirinya. Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama, orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi dia enggan memberi minum para musafir (yang kehabisan bekalan minuman). Kedua, orang yang menawar untuk membeli barangan selepas Asar dengan bersumpah bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu. Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Padahal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya. Ketiga, orang yang membaiah pemimpin (mengundi) dan memilih pemimpin semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan)nya. Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajipannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan atau ingkar.”

Bukhari: 2476; Muslim: 157

Sebab yang kedua adalah berleluasanya hiburan dan program lagha serta tidak menghormati nilai agama. Berikutan dengan pengeluaran wang awam yang begitu besar nilainya bagi melalaikan anak-anak muda dan orang tua daripada mematuhi dan menobatkan nilai luhur dalam masyarakat. Sebaliknya anak-anak remaja dan orang tua diheret untuk menghabiskan masa kepada program maksiat atau hiburan yang tidak banyak mendatangkan faedah maka kecenderungan meremehkan tanggungjawab keagamaan dan moral semakin meningkat. Ini memudahkan kejahatan dan memungkinkan maksiat dan kemungkaran bermaharajalela.

Allah S.W.T berfirman dalam suran An-Nur, ayat 19:

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang suka berkembangnya kebejatan (kemungkaran) di kalangan orang-orang yang beriman maka akan disediakan seksa yang sangat keras dan pedih untuknya di dunia dan di akhirat.”

Para penderhaka dan golongan yang kafir kepada arahan Allah tidak akan berjaya (Al-Mu’minun: 117). Ini dinyatakan oleh Allah S.W.T sendiri. Oleh itu usaha meraih kemenangan dengan melakukan perkara yang dimurkai Allah dan melekakan orang ramai daripada mengikuti ajaran Islam dan sebagainya pada hakikatnya mengundang musibah dan malapetaka kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Ini dapat dirasakan dengan kedatangan berbagai-bagai bala bencana mutakhir ini termasuk beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang dilanda banjir lumpur yang teruk.

Seterusnya, antara penyebab gejala berkenaan ialah kerana wujudnnya perancangan syarikat asing dan kuasa penjajah mengubah identiti umat supaya menjadi asing daripada ajaran agama mereka. Meskipun perubahan perkataan Islam tidak dapat dilakukan namun usaha mengalihkan individu umat daripada kepompong Islam kepada kepompong kufur boleh sahaja dilaksanakan dengan berkesan. Sebab itu gejala murtad semakin menjadi-jadi berikutan berkembangnya gejala kebencian terhadap simbol agama dan perjuangan berlandaskan asas agama (Islam).

Kemiskinan dan suasana inflasi serta gejala peningkatan harga barang secara mendadak yang tidak dapat ditandingi oleh pengumuman kenaikan gaji segelintir rakyat yang diikuti dengan kenaikan kadar jenayah di kalangan remaja dan orang tua. Kemiskinan antara lain disebabkan oleh ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dalam negara. Ketika kalangan kroni pemerintah berbelanja dengan boros, dengan gaya hidup bermewah menggunakan sumber kekayaan yang tidak bersih yang berpunca daripada rasuah dan sebagainya, tidak sedikit masyarakat marhaen1 yang hidup miskin dan melarat. Kewujudan dua atau lebih kasta dalam masyarakat sudah tentu menghasilkan rasa jengkel dan tidak puas hati atas ketidaksamaan seperti ini justeru ketidakadilan yang dapat disaksikan oleh mereka. Sebab itulah Islam memerangi rasuah, kezaliman dan akad atau muamalat yang berlandaskan kepada penipuan, gharar2 dan pemerasan.

Kemerdekaan umat sebenarnya hanya dapat dicapai dengan keupayaan melahirkan individu dan umat yang berjiwa merdeka serta bebas daripada pengaruh kekufuran, kedurjanaan dan keruntuhan jati diri dan akhlak. Selagi rakyat tidak terdidik dengan dasar dan nilai-nilai Islam yang sejati maka mereka akan mudah melepaskan diri mereka daripada maruah, nilai agama dan moral. Hanya dengan janji mendapat upahan beberapa ringgit mereka sanggup melakukan apa sahaja, walaupun bercanggah dengan tuntutan agama. Kerapuhan pendirian seperti ini bukan hanya akan menjatuhkan masyarakat artis, seniman bahkan turut menjatuhkan imej golongan  pemimpin, politikus dan tokoh-tokoh ternama bangsa. Sebab itulah usaha memperkasa jati diri dan mengukuhkan pendidikan Islam sangat berkaitan dengan usaha memerdekakan umat daripada belenggu penjajahan minda dan budaya. Kemerdekaan umat hanya dicapai apabila Islam sejati dapat dinobatkan seluruhnya di persada tanah air kita.

1     Marhaen – rakyat jelata, golongan kebanyakan.

2     Gharar – tidak jelas, tidak pasti.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: