Isu #46: Rumah Terbuka dan Duit Raya

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Mohon pandangan Islam berhubung isu rumah terbuka yang dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat; daripada orang-orang kenamaan hinggalah kepada rakyat biasa.

Adakah amalan rumah terbuka itu menepati tuntutan agama atau ia datang daripada ideologi orang-orang barat yang mahu menghancurkan Islam? Sekiranya ia dibenarkan oleh Islam, apakah cara terbaik agar umat Islam dapat menjaga kesucian hari raya daripada pelbagai perkara negatif seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan?

Mengenai amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak, adakah perbuatan itu menyerupai tindakan orang-orang Cina, India & Kristian dalam hari raya masing-masing?


JAWAPAN

Hari raya Aidilfitri adalah hari merayakan kepulangan diri kepada fitrah atau kembali mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya; dari sudut aqidah, ekonomi, politik, budaya dan lain-lain. Oleh sebab itu ia dimulai dengan ibadah mengawal nafsu dan berkorban sepanjang sebulan. Pengawalan diri daripada menjadi liar dan lari daripada landasan ajaran Islam yang dilembagakan oleh puasa Ramadhan di samping pengorbanan harta dengan mengeluarkan zakat fitrah adalah tanda kemenangan seseorang mengatasi nafsu dan syaitan yang berusaha mengajak dirinya supaya menyimpang daripada ajaran dan perjuangan Islam yang sejati. Hari raya dari segi simboliknya adalah hari kemenangan perjuangan Islam mengatasi perjuangan berlandaskan fahaman kebatilan, assobiyah dan kepalsuan.

Inilah intipati daripada maksud hari raya di samping apa yang diketahui umum bahawa hari raya sebagai hari liburan dan hari untuk beribadah, bertakbir, bermaafan, bersyukur, menghubung dan mengukuhkan tali silaturrahim, di samping meningkatkan amalan soleh dan sebagainya.

Meskipun hari raya dalam Islam lebih mengarah kepada amalan memberi kemaafan, mengukuhkan silaturrahim, bersyukur kepada Allah dan mengagungkan kebesaranNya di samping bersuka ria secara yang bersopan, namun amalan menyediakan kuih-muih, makanan atau minuman kepada golongan miskin, anak yatim dan sebagainya secara umum tidak dilarang dalam Islam.

Ia satu pengorbanan untuk memberi kelapangan kepada golongan yang tidak bernasib baik untuk menikmati juadah yang lebih pelbagai dan berkualiti daripada biasa. Makanan juga tidak dilarang untuk diberikan kepada para tetamu yang datang berziarah menyambung ikatan silaturrahim dengan menjaga batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan mengikut nilai dan piawai syarak. Ini sejajr dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Insan, ayat 8:

Maksudnya: “Mereka menjamu makanan (untuk) orang miskin, anak yatim dan orang tawanan dengan penuh sukarela.”

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Wahai saudara-saudara sekalian, sebarkanlah ‘as-Salam’, sediakanlah jamuan, hubungkan tali silaturrahim, bersolat malamlah (qiamullail) ketika orang lain nyenyak tidur nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.”

At-Tirmidzi: 1777

Memberi makan dan minum kepada tetamu adalah sebagai lambang penghargaan kepada mereka. Ini sejajar dengan dorongan hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A seperti berikut:

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dia hendaklah bertutur dengan kata-kata yang baik atau berdiam diri sahaja. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dia hendaklah memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dia hendaklah memuliakan tetamunya.”

Bukhari: 5594; Muslim: 67

Salah satu cara merealisasikan keimanan ialah dengan memuliakan tetamu dan menjamu mereka secara sederhana dan setakat yang mampu dan wajar dilakukan. Apa yang dilarang ialah sikap boros. Amalan melampau dan berlebihan dalam apa jua perbuatan; sama ada makan, minum dan sebagainya tetap dilarang. Hari raya bukan hari melampiaskan nafsu makan atau minum. Ia juga bukan hari untuk membazirkan rezeki dan peruntukan nafkah isteri dan anak-anak. Hari raya adalah hari yang sewajarnya dilalui dengan sikap sederhana demi mencari keredhaan Allah dan meraih keampunanNya.

Larangan seterusnya ialah menjadikan hari terbuka sebagai hari menarik pengaruh politik yang batil supaya orang yang hadir ikut menyertai perjuangan kebatilan yang tidak pernah direstui oleh Islam atau syarak. Ia juga bukan hari untuk menunjukkan betapa banyaknya juadah dan kelazatan yang boleh diraih dengan menyertai kumpulan yang memperjuangkan kebatilan. Oleh itu ia bukan hari untuk menambahka bilangan penyokong perjuangan kebatilan. Namun, adakalanya ia dilihat sebagai hari untuk orang-orang tertentu berlumba-lumba menunjukkan kemegahan dan kekayaan harta masing-masing. Inilah hari yang dipenuhi dengan kegiatan yang tidak baik, dan ternyata ia mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.

Amalan umat Islam umumnya merujuk kepada dalil dan bingkai syariat. Apa jua persamaan amalan tersebut dengan agama lain, ia tidak menjadi sebab kebatilan amalan syariat. Amalan menjamu dan memberi sedekah adalah amalan yang berlandaskan dalil syarak yang tersendiri. Pembaziran pula adalah haram berlandaskan dalil syarak yang mengharamkan perbuatan tersebut. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Isra’, ayat 26-27:

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang-orang miskin dan musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang  boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedangkan syairan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Selain daripada itu perlu diingat bahawa antara adab menjamu yang perlu diperhatikan ialah tidak berlebihan sehingga bercanggah dengan perintah syarak atau melakukan diskriminasi sosial dengan menjemput orang kaya sahaja dan meminggirkan orang-orang miskin. Dalam hadis ada disebutkan bahawa “seburuk-buruk jamuan ialah jamuan yang dijemputnya orang-orang kaya dengan meminggirkan orang-orang miskin”. Walaupun begitu elok juga dipastikan bahawa para tetamu kita terdiri daripada kalangan orang baik-baik dan mulia berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W, “Janganlah menyantap jamuanmu kecuali orang yang bertaqwa”.

Selanjutnya memberi sedekah kepada orang lain sama ada anak kecil atau orang dewasa adalah satu perbuatan yang baik dan digalakkan dalam Islam. Ini sejajar dengan hadis yang menyatakan bahawa tangan yang di atas (atau yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (yang menerima). Cuma perlu dipastikan bahawa wang yang diberikan itu diperoleh secara halal dan bukan dengan mengambil harta rakyat atau harta awam secara tidak sah. Mereka yang merompak harta rakyat atau mendapat pangkat, kedudukan dan pendapatan secara haram, maka wang yang diperoleh itu haram kerana ia daripada sumber yang haram. Oleh itu sedekah dan pemberiannya hanya akan menjadi bekalan menuju ke neraka.

Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya menyatakan sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, mana-mana orang yang meraih rezeki (daripada sumber) yang haram lalu dia membelanjakan untuk mendapat berkat, atau dia menyedekahkannya untuk diterima oleh Allah atau dia meninggalkannya untuk dimiliki oleh warisnya namun semuanya itu hanya akan menjadi bekalannya (kelak) ke neraka. Allah tidak menghapuskan keburukan dengan keburukan. Sebaliknya Allah menghapuskan keburukan dengan kebaikan. Keburukan tidak mungkin dapat menghapuskan keburukan.”

Lihat kitab Minhaj As-Solihin oleh Syeikh ‘Izzuddin Baliq, hal: 627-628

Dari suatu sudut yang lain adalah suatu amalan buruk dan tidak berakhlak untuk melatih anak-anak kecil atau orang dewasa menjadi manusia peminta sedekah atau penagih wang sempena hari raya. Kunjungan hari raya bukan untuk menagih wang dan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada tuan rumah yang diziarahi tetapi ialah untuk memohon kemaafan dan mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama handai-taulan dan hamba Allah yang lain.

Wallahu A’lam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: