Isu #49: Tazkirah di Bulan Ramadhan

#####  isu khas bulan Ramadhan  #####

___________________________________________________________

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh:
Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Bulan Ramadhan tidak lama lagi akan menjelang, biasanya di kebanyakan surau dan mungkin tidak di masjid, para jemaah mengadakan terawikh sebanyak 8 kali dan disusuli dengan majlis tazkirah. Persoalannya di sini:

  1. Apakah hukum mengadakan tazkirah, tidakkah ia boleh dibuat sebelum atau selepas bulan Ramadhan?
  2. Apakah pula hukum, jika ada pihak cuba menghalang majlis tazkirah, sebab ada orang berpendapat solat terawikh sunat dan tazkirah wajib kerana ia menuntut ilmu.
  3. Apabila dilihat daripada penganjuran majlis tazkirah seperti pengalaman tahun-tahun yang lalu, banyak faedah kepada orang yang mendengar; daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Namun, musykilnya kenapa jabatan agama tidak membenarkan majlis tazkirah diadakan.
  4. Apa pula hukum memaksa orang supaya tunggu untuk mendengar tazkirah?

JAWAPAN

Perkataan tazkirah terbit daripada ayat 55 surah Az-Dzariyat:

Maksudnya: “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”

Jelas di sini bahawa Allah S.W.T memerintahkan umatNya supaya memberi tazkirah dan peringatan justeru tazkirah tersebut memberi manfaat kepada orang-orang beriman. Allah S.W.T berfirman dalam surah An-Nisa’, ayat 114:

Maksudnya: “Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan keraian dan wacana mereka kecuali wacana yang menyuruh orang mengeluarkan sedekah atau melakukan kebaikan (al-Ma’aruf) atau melakukan Islah pemulihan (hubungan) sesama mereka (orang ramai). Maka barangsiapa yang melakukan perbuatan itu semata-mata mencari keredhaan Allah nescaya Kami akan berikan kepadanya ganjaran yang sangat lumayan.”

Perbuatan menghadiri majlis tazkirah juga berkaitan dengan arahan menuntut ilmu yang banyak bertaburan dalam Al-Quran dan hadis. Pendidikan sangat penting dalam membanteras kebutaan agama dan mengatasi gejala maksiat dan jenayah yang semakin berkembang dalam masyarakat sekarang. Sebab itu Rasulullah S.A.W menegaskan wajibnya menuntut ilmu bagi setiap muslimin & muslimah.

Baginda juga menekankan peri pentingnya tugas memberi ilmu, peringatan, bimbingan dan syarahan agama. Kalau boleh usaha seperti ini dilaksanakan sekerap mungkin, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.

Rasulullah S.A.W menegaskan kebaikan mempelajari ilmu dan menghadiri majlis tazkirah dalam hadis riwayat ad-Darimi:

“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam maka jarak antaranya dengan para nabi di syurga kelak adalah sekadar satu tingkat sahaja.”

Sunan ad-Darini: 362 (Hadis dhaif)

Kerajaan dan pemerintah wajib menyediakan kemudahan dan peruntukan supaya rakyat dan orang ramai boleh belajar untuk membebaskan diri daripada kejahilan dan neraka Allah S.W.T. Kerajaan wajib menggalakkan amalan mengajar dan belajar, khasnya di masjid dan surau-surau untuk menyahut amaran Allah S.W.T agar manusia memerdekakan diri daripada api neraka. Seperti firmanNya dalam surah At-Tahrim, ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah (bebaskan) diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Kejahilan adalah pemangkin kepada keadaan terjebak dan terbelenggu dalam kekufuran, penderhakaan yang seterusnya menghantar manusia ke neraka. Kerajaan atau pejabat agama tidak wajar menghalang usaha sukarela rakyat mengadakan tazkirah dan majlis ilmu dengan menggunakan wang derma orang ramai untuk kebaikan dan keselamatan diri mereka.

Orang yang baik ialah orang yang berusaha meningkatkan keilmuan dan kefahaman diri dan orang lain. Orang yang tidak melaksanakan arahan Allah di atas dan menghalang tugas mulia ini adalah manusia yang fasiq dan derhaka. Lebih-lebih lagi dalam bulan mulia seperti bulan Ramadhan, amalan memberi tazkirah, mengajar orang ramai tentang ilmu agama dan kehidupan yang berasaskan nilai dan hukum agama adalah suatu kebaikan yang sangat dituntut justeru pahala mereka akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T.

Pejabat Agama Islam di negeri-negeri wajib menyelaraskan diri dengan tuntutan syarak. Mereka wajib menggalakkan majlis ilmu diadakan khasnya dalam bulan Ramadhan. Pejabat agama yang menghalang aktiviti agama boleh dianggap sebagai mengkhianati tugas dan kewajipannya kepada Allah, bangsa dan negara. Dosa mereka akan berganda-ganda dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Mempelajari ilmu pengetahuan agama lebih afdhal daripada mengerjakan ibadah sunat. Sebab itulah orang ramai tidak mahu ketinggalan menganjurkan majlis tazkirah di samping solat terawikh untuk meraih kebaikan dan pahala yang sebanya mungkin dalam bulan Ramadhan.

Sebenarnya tidak ada paksaan boleh dibuat untuk orang yang mendengar tazkirah sebab setiap makmum bebas untuk pulang ke rumah masing-masing kalau mereka mahu. Tidak ada kekerasan atau ancaman kekerasan yang dilakukan oleh sesiapa dalam hubungan ini. Oleh itu tidak tepat untuk menggunakan istilah ‘paksa’ dalam konteks ini.

Cuma mengadakan majlis tazkirah di celah-celah solat terawikh dalam bulan Ramadhan adalah suatu kebijaksanaan memerangkap makmum solat terawikh yang lumrahnya kurang minat belajar untuk mendengar pengajaran. Dengan demikian sifat malas dan culas mereka dapat diatasi dan mereka mendapat pahala menuntut ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian perbuatan tersebut adalah suatu perbuatan yang bijak dan berpahala.



No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: