Isu #16: Bolehkah Seseorang Itu Bercinta?

Semasa cuti, ada seorang kawan muslimat bertanya pendapat tentang “Bercouple“, untuk kerja rumahnya. Dibalas dengan emel jawapan seringkas yang boleh seperti yang diminta. Kemudian datang pula 14 Februari & 12 Rabiul Awal. Isu yang timbul berkaitan dua tarikh ini memang popular, dan sudah dijangka banyak pihak akan berkata mengenainya.

Hobi (atau cara) saya, suka melihat, membaca dan mengambil apa saja maklumat yang diberi (walaupun tidak ditujukan kepada saya)… lalu menyimpannya untuk masa-masa yang akan tiba.

Kali ni, saya langkau turutan isu untuk memberi laluan kepada Isu #16 dan Isu #28 terlebih dulu. Dua isu ini juga sengaja saya simpan, tidak didedahkan pada waktu ianya berlaku. Kenapa? Adalah~ hoho!!  (^0^). Selamat mengambil ilmu darinya…

____________________________________________________________

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Dalam satu ceramah agama di radio, salah seorang panel forum berkenaan menyebutkan bahawa cinta adalah sesuatu yang suci, cinta juga adalah sesuatu yang agung. Beliau yang juga bekas pensyarah universiti tempatan dan kini menjadi ahli politik mengatakan bahawa kita bercinta kerana hendak mencari titik persamaan, kita tidak mahu seseorang itu berkata, aku suka singkong, kau suka keju. Maksudnya seorang itu suka masakan cara kampung dan seorang lagi suka masakan ala barat.

Daripada apa yang diungkapkan oleh penceramah berkenaan, dapat dibuat kesimpulan bahawa kita digalakkan bercinta untuk mencapai suatu titik persamaan. Cakap-cakap beliau itu akan dipegang oleh sesiapa sahaja, kerana beliau bukan calang-calang orang, malahan beliau berkelulusan PhD dalam bidang agama. Walau bagaimanapun, dahulunya beliau pernah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi iaitu: “Ibu tunggal yang kesempitan hidup harus melacur jika darurat.” Mungkin orang-orang jahil dalam agama akan menerima pendapatnya itu.

Apabila bercakap-cakap mengenai bab cinta, tergambar pasangan lelaki dan perempuan duduk berduaan tidak kira di mana untuk mencari titik persamaan. Persoalannya, adakah Islam membenarkan penganutnya bercinta? Jika boleh, bagaimanakah caranya? Adakah Rasulullah S.A.W dan para sahabat juga bercinta dahulu demi mencari suatu titik persamaan?

JAWAPAN:

Perasaan kasih sayang dan cinta adalah suatu anugerah Ilahi kepada setiap manusia. Dengan perasaan itulah si ibu menyusukan anak-anaknya. Malah binatang turut dianugerahkan perasaan seperti itu untuk memelihara dan melindungi kesinambungan zuriatnya. Seorang penulis web Muslim pernah mendefinisikan cinta seperti berikut:

Cinta adalah gelojak jiwa dan emosi yang terpancar daripada batin manusia yang menampilkan rasa bahagia dan damai dalam dirinya. Perasaan ini mengeratkan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai. Cinta adalah ikatan roh dan hubungan kejiwaan serta intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai-bagai bentuk ekspresi, seperti memuji, mencium, menghormati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindari bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke tahap hidup bersama.1

Agama Islam dibina di atas tonggak keimanan. Manakala iman dibina atas dasar cinta kepada Allah S.W.T dan seluruh ajaranNya, di samping membenci perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T.


“Sebab itu dalam Islam, cinta amat dititikberatkan.” Dalam Al-Quran, seumpamanya, perkataan Al-Hubb disebut sebanyak 88 kali2, tetapi hanya sekali sebutan yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf. Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al-Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkaiNya. Sebagai contoh:

Maksudnya: “Allah suka orang-orang yang berbuat baik.”

Al-Baqarah: 195

Maksudnya: “Dia termasuk orang-orang yang soleh.”

Al-Imran: 46

Maksudnya: “Allah suka orang yang bertawakal.”

Al-Imran: 159

Maksudnya: “Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih.”

At-Taubah: 108

Maksudnya: “Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya.”

As-Saff: 4

Maksudnya: “Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat.”

Al-Baqarah: 205

Maksudnya: “Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa.”

An-Nisa’: 107

Maksudnya: “Allah suka orang-orang yang adil.”

Al-Mumtahanah: 8

Maksudnya: ”…Jika kamu (benar-benar) mancintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”

Al-Imran: 31

Perkataan sayang dan kasih, yang diulang-ulang banyak kali ini membayangkan cinta itu sememangnya suatu yang penting dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidak ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain daripada sayang, membenci, memberi (berkorban) kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan”

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Hadis riwayat Muslim: 81

Baginda juga bersabda:

“Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan (tidak memberi) kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”

Syakbul Iman: 8731

Rasulullah S.A.W turut mengajarkan doa:

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”

Jadi dalam Islam, cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang amat ditegaskan, ia adalah teras ajaran agama, malah menjadi asas ajaran agama.

Kasih sayang kepada Allah, agama, Rasul dan Al-Quran membentuk sikap seseorang Muslim. Tanpa cinta dan kasih sayang, masyarakat manusia tidak akan aman. Ia juga adalah asas kepada ketamadunan dan amat penting untuk mengikat hubungan suami dan isteri, anak dan ibu, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, masyarakat sebangsa dan sebagainya. Islam mengajar kasih sayang dan cinta yang diluahkan dalam acuan yang diterima oleh syarak. Jika dilimpahkan ke dalam acuan yang melanggar batas syarak, ia adalah kasih sayang yang tidak sihat dan negatif. Contohnya cinta berahi sesama lelaki atau sebaliknya berahi sesama perempuan.

Dalam berbicara mengenai cinta, para ulama telah membahagikannya kepada beberapa martabat. Yang tertinggi ialah cinta kepada Allah, Rasul, agama dan jihad fisabilillah. Ini disebut Al-Hub ul A’la, lumrahnya apabila ajaran agama telah meresap ke dalam jiwa mukmin, keimanannya menjadi segar dan kental sehingga dia amat sayang kepada Allah S.W.T. Ini kerana dia amat yakin Allah S.W.T Maha Sempurna, Maha Agung dan tiada yang dapat menyamaiNya.

Orang yang menghayati cinta tertinggi ini redha berbuat apa sahaja demi Allah. Sebab itu, golongan yang mepunyai cinta tertinggi ini tidak akan memilih jalan yang tidak disukaiNya kerana Allah S.W.T berfirman, “Tidak wajar bagi para mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menentukan sesuatu, mereka memilih yang lain pula sebagai pilihannya…” Sekiranya Allah S.W.T menyatakan hukumNya adil maka orang yang martabat cintanya tinggi kepada Allah akan mematuhinya dengan penuh yakin.

Cinta di tahap kedua disebut Al-Hub Al-Ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara-mara dan sesama akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat daripada itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh hubungan atau jalinan kemasyarakatan.

Jadi cinta di tahap ini amat penting untuk merealisasikan keperluan individu, keluarga, bangsa, bahkan warga dunia. Sebab itu juga syariat Islam menegaskan perlunya dicambahkan, dan diperkasakan rasa cinta serta kasih sayang kepada isteri, suami, anak kecil, binatang, jiran, bahkan kepada seluruh manusia dan makhluk. Dalam hubungan ini terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menegaskan perkara ini:

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Sahih Al-Bukhari: 12

Sepotong hadis lain juga menyebut:

“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.”

Sahih Bukhari: 5552

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berbuat baik dengan jirannya dan memuliakan mereka…”

Muwatta’: 1454

Hadis lain juga menyebutkan:

“Makhluk ini diseluruhnya adalah tanggungan Allah, orang yang paling disayangi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada tanggungannya.”

Bagaimanapun, cinta di tahap kedua ini boleh ditamatkan untuk sementara waktu atau untuk selama-lamanya dengan sebab-sebab yang diperakukan oleh syarak. Jelasnya lebih lanjut, dalam keadaan biasa, seseorang tidak boleh memboikot saudaranya, tetapi sekiranya orang berkenaan melakukan maksiat terang-terangan dan berdegil untuk terus melakukan perkara yang haram, Islam menasihatkan agar dia diberi nasihat dengan menyatakan bahaya maksiat itu. Seterusnya Islam mengharuskan perbuatan memutuskan rasa cinta itu dengan syarat ia kerana mematuhi perintah Allah. Di samping itu terdapat pula hadis menunjukkan:

“Ikatan iman yang paling utuh adalah (sikap) kesetiakawanan kerana Allah, bermusuh kerana Allah.”

Musnad Ahmad: 17793

Pernah Rasulullah S.A.W meminta umat Islam supaya memboikot Ka’ab bin Malik yang tidak mahu ikut serta dalam peperangan Tabuk sehingga 50 malam lamanya menyebabkan Ka’ab merasakan bumi ini terasa sempit baginya. Bahkan Rasulullah S.A.W juga pernah memboikot isteri-isteri baginda untuk mendisiplinkan mereka. Justeru itu, adalah harus memutuskan hubungan dan kasih sayang dalam batas tertentu untuk mendisiplinkan orang yang terus-menerus bertindak menentang agama dan syariat Allah S.W.T.

Ini diperkukuhkan dengan ayat dalam surah Al-Mujadalah, ayat 22:

Maksudnya: “Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka…”

Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif dan memusnahkan manusia atau disebut sebagai Al-Hub Al-Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1, Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu…”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini.

Ini ditegaskan dalam ayat Al-Quran, surah At-Taubah ayat 24:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Bahkan ada hadis mengatakan:

“Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain.”

Sahih Bukhari: 13

Cinta yang buruk ini juga ialah cinta kerana gelodak nafsu melulu, patuh kepada kehendak-kehendak nafsu amarah meskipun bercanggah dengan syarak, membangga diri atau bersikap egoistik sehingga Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkan dirinya padahal dia berilmu…”

Al-Jatsiyah: 23

Cinta di tahap ketiga ini termasuk cinta kepada syaitan, memuja dan mematuhi perintah, saranan serta bisikannya. Cinta seperti ini adalah cinta buta yang tidak menguntungkan. Padahal dalam surah Yaasin difirmankan secara jelas bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan perlu dimusuhi dan dianggap sebagai musuh sebenarnya. Syaitan telah menyesatkan ramai generasi terdahulu. Ia juga berperanan menyesatkan generasi kini dan akan datang.

Dalam klasifikasi yang lain, cinta boleh merangkumi cinta kepada Allah, Rasul, kasih sesama manusia, cinta kepada alam ciptaanNya termasuk gunung-ganang, sungai, laut dan lain-lain makhluk. Malah Rasulullah S.A.W pernah menyebut:

“Bukit (Uhud) ini sayang kepada kami dan kami juga sayang kepadanya.”

Sahih Bukhari: 1387

Baginda bersabda demikian kerana umat Islam ketika itu marahkan bukit tersebut selepas kalah dalam peperangan di sana. Tetapi baginda meyakinkan bahawa bukit tersebut tiada kena-mengena dengan kekalahan yang mereka alami itu. Selain itu tambahnya, kita juga disuruh menyayangi kehidupan sebagai suatu rahmat daripada Allah S.W.T. Malah Rasulullah S.A.W kerap menyebut dalam doanya:

“Ya Allah, kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi itu lebih baik bagiku.”

Sahih Bukhari: 5239

Bagaimanapun, dalam Islam mati syahid juga adalah sesuatu yang digalakkan. Tetapi ia dilihat dalam konteks menghadapi cabaran dan keperluan semasa, apabila negara diceroboh oleh musuh-musush Islam. Ketika itu, walaupun kita mencintai kehidupan, kita juga disuruh mencintai mati, cinta perjuangan, cinta untuk memerdekakan negara, cinta untuk bertemu dengan Allah, justeru Dia telah menjanjikan untuk orang yang mati syahid dalam perjuangan akan mendapat pahala yang amat besar.

Malangnya, individu dalam masyarakat kita kini lebih ramai yang cenderung memahami cinta dalam bentuk cinta tahap ketiga, yang lebih bersifat fizikal atau hissi, seperti cinta kepada wanita, kekasih, harta benda, pangkat atau kepentingan-kepentingan individu. Cinta ‘asyik mahsyuk, menatang nafsu’, inilah yang sering dilagu-lagukan.

Cinta dan kasih sayang yang luas maksudnya diperkecilkan ruang lingkup penghayatannya. Hal ini menunjukkan perkembangan yang negatif dan menurunnya apresiasi nilai dan akhlak masyarakat. Cinta tidak boleh disempitkan ruang lingkupnya sehingga cinta hanya sekadar dikaitkan dengan naluri berahi semata-mata.

Cinta dalam skop di atas ada hadnya. Malah sesama suami isteri juga cinta sebegini mempunyai tempoh yang terhad. Apabila usia meningkat cinta masih diperlukan tetapi bukan dalam bentuk cinta berahi atau sekadar dorongan seksual semata-mata, tetapi cinta yang dipertingkatkan dalam bentuk kemanusiaan yang lebih tinggi. Malangnya, manusia sekarang terlalu membesarkan soal cinta berahi seolah-olah itulah satu-satunya maksudnya cinta, kasih dan sayang. Padahal Islam memperkukuhkan pengisian cinta sehingga membawa manusia ke suatu martabat kemanusiaan yang lebih tinggi, iaitu kepada alam rohaniah yang lebih luhur. Mereka yang menikmati cinta sebenar ini menjadi manusia yang sebenar, dia akan menjadi manusia yang pengasih dan menyayangi sesama insan, justeru sayang dan kasih adalah sebahagian sifat Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama, ada segolongan manusia yang terlalu mengutamakan cinta fizikal dan keseronokan diri sehingga tidak memikirkan kesannya kepada orang lain. Oleh itu tidak hairanlah kalau ada orang yang sanggup merogol kanak-kanak, orang tua dan sebagainya. Orang sebegini menganggap cinta itu ialah tindakan untuk melepaskan nafsu syahwatnya semata-mata!

Ini membayangkan penyimpangan masyarakat mengenai pengertian sebenar cinta dan kasih sayang. Cinta seperti ini terkeluar daripada acuan syarak. Contohnya seorang lelaki mencintai isteri orang kerana tidak berhati-hati sejak awal. Kerosakan dalam masyarakat akibat ‘cinta’ yang tidak menepati acuan syarak yang mempunyai kaitan pula dengan persekitaran yang juga tidak mengikut syarak. Budaya menonjol dan mempamerkan tubuh yang boleh menyemarakkan cinta fizikal serta berahi ini perlu dibatasi oleh individu, media, mahupun pihak berkuasa. Budaya inilah pemangkin yang melahirkan jenayah seksual seperti rogol atau cinta melampaui batas.

Apabila kegilaan cinta berahi ditonjolkan sebagai sesuatu yang didambakan setiap orang, maka keadaan ini akan mewujudkan suasana yang mengobarkan berahi remaja, atau golongan yang ‘lapar dan dahaga’ tetapi tidak berkemampuan. Umat Islam sepatutnya tidak terjebak mewujudkan suasana negatif seperti ini kerana akibatnya akan berlaku penyimpangan dan kerosakan dalam masyarakat.

Dalam pada masa itu, pendidikan dan kefahaman dikalangan umat Islam mengenai cinta dan tahap-tahapnya perlu diterapkan. Cinta kepada Allah, Nabi, Al-Quran dan agama perlu diutamakan agar mereka tidak membesar dengan sifat benci kepada titah perintahNya atau saranan agama. Bijak meletakkan perasaan, sama ada cinta atau benci kepada sesuatu yang tidak membawa kelalaian, kemaksiatan dan kekufuran.

Islam  melarang perasaan sayang dan kasih cinta ditujukan pada tempat yang salah atau diungkapkan dalam realiti secara salah. Kepada mereka yang ingin berumahtangga digalakkan melihat orang yang hendak dikahwininya secara sopan sehingga tercetus keinginannya untuk memperisterikan gadis yang dilihatnya itu. Keinginan tersebut sedikit sebanyak mungkin mencetuskan sifat cenderung, rasa sayang dan suka untuk berkongsi kehidupan dalam berumahtangga kelak.

Selain daripada cinta dan kasih yang dibenarkan oleh syarak, gelojak jiwa dan rasa cinta yang tidak waras dan tidak wajar akan masuk ke dalam daerah perkara yang diharamkan oleh Islam.



____________________________________________________________

  1. http://www.balagh.com/matboat/bhos/35/re0tt96m.htm
  2. Al-Hujurat: 7; Al-Qasas: 56; Shad: 32; Al-An’am: 76; Al-Baqarah: 190, 195, 205, 216, 222, 276; Al-Imran: 31, 32, 57, 76, 92, 119, 152; Al-A’raf: 79; An-Nur: 22; Al-Qiyamah: 20; Al-Fajr: 20; As-Saff: 13; dan lain-lain.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: