Isu #11: Antara Mati dan Tuduhan Ulama Sebagai Pengganas

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Ketiga-tiga pengebom Bali telah dijatuhkan hukuman tembak oleh mahkamah Indonesia. Persoalannya, apakah mereka boleh ditembak dan adakah tindakan ini menepati hukum syariat Islam? Ada pihak mengatakan bahawa ketiga-tiga pengebom berkenaan tidak mati syahid kerana mereka telah membunuh ramai orang awam pada tahun 2002 di Bali. Ada pula yang mengatakan mereka mati syahid. Persoalannya, bagaimana kedudukan syahid mereka?

Ada pula yang berpendapat ketiga-tiga pengebom ini mendapat idea daripada para ulama gerakan Islam seperti Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Abul A’la Al-Maududi dan yang lain-lain. Mereka yang namanya disebutkan ini didakwa sebagai pelopor kepada gerakan ekstrim yang ditentang habis-habisan oleh semua pihak. Apakah dakwaan itu benar?

JAWAPAN:

Tiada maklumat yang terperinci mengenai ketiga-tiga pengebom Bali ini. Bahkan tidak ada siapa yang tahu apakah benar mereka bertiga yang melakukannya. Tidak ada siapa jua yang tahu apa motif sebenar yang mendorong mereka – kalau benar – melakukannya. Walau bagaimanapun, kita tahu benar perancangan musuh-musuh Islam untuk menjebak orang Islam tertentu bagi melancarkan serangan besar-besaran kepada seluruh dunia Islam. Pelbagai cara digunakan oleh negara kuasa besar antaranya dengan melaung-laungkan kempen zalim mereka iaitu ‘menentang keganasan global’ bagi merampas sumber tenaga seperti petroleum, gas dan lain-lain dan akhirnya menjajah negara-negara umat Islam. Kita juga melihat pembunuhan ramai orang awam yang dilakukan secara berterusan oleh tentera Israel di Palestin, tentera Amerika di Afghanistan, Pakistan, Iraq dan lain-lain dengan dakwaan memburu dan membunuh pengganas. Begitu ramai orang awam yang telah dibunuh namun tentera Israel dan Amerika tidak pernah dipanggil sebagai pengganas nombor satu dunia.

Kita perlu juga mengenali para alim ulama dan kejujuran mereka dalam berdakwah. Hasan Al-Banna, Syed Qutb serta Abul A’al Maududi BUKAN manusia pengganas ataupun golongan yang menggalakkan manusia melakukan keganasan. Mereka adalah pemimpin gerakan Islam yang begitu dihormati. Mereka sebenarnya adalah mangsa keganasan penguasa pada zaman mereka. Anggapan jahil sesetengah pihak tidak boleh menyebabkan kita turut menjadi jahil juga. Mereka tidak ada kaitan dengan kejahatan yang dilakukan oleh orang lain.

Tempat orang mati syahid yang banyak jumlahnya pada hari ini adalah di negara-negara di bawah penjajahan seperti Chechnya, Iraq, Afghanistan, khasnya di Palestin, Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis dan lain-lain. Pasti akan kedengaran berpuluh-puluh manusia yang mati syahid. Inilah tempat mereka yang mahu mati syahid berkumpul, mempertahankan pihak mereka dengan peralatan senjata yang paling minimum berbanding Israel dan sekutu rapatnya, Amerika.

Mati syahid adalah kematian dalam rangka memerangi orang kafir yang menceroboh negara-negara umat Islam demi mempertahankan nilai dan syariat Islam. Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam surah An-Nisa ayat 74, 75 dan 84, surah At-Taubah ayat 13, surah Al-Baqarah ayat 190 dan 193, serta lain-lain ayat.

Menurut Syeikh Mahyuddin bin Syaraf An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ Syarhu Al-Muhazzab:

“Syahid terbahagi kepada tiga: Pertama, syahid dunia dan akhirat. Syahid ini tidak dimandikan dan disembahyangkan. Syahid seperti ini mempunyai pahala khusus. Orang yang syahid itu hidup di sisi Allah S.W.T dan akan diberikan kurniaanNya. Kategori ini ialah orang yang mati kerana memerangi orang kafir sebelum tamatnya peperangan. Kedua: Syahid akhirat sahaja. Syahid ini ialah orang yang mati kerana sakit perut, lemas dan sebagainya. Ketiga: Syahid dunia sahaja, iaitu mereka yang mati dalam memerangi orang kafir, tapi dia telah mengambil harta yang bukan miliknya ataupun mati dalam keadaan melarikan diri serta berperang kerana menunjuk-nunjuk dan sebagainya.”

Lihat Al-Majmuk’ hal. 223 juz 5

Sebenarnya konsep syahid ini adalah suatu ibadah dan pemangkin serta pengobar semangat jihad melawan musuh Allah. Ini bertitik-tolak daripada firman Allah S.W.T dalam At-Taubat ayat 111:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) syurga. Mereka berjuang pada jalan Allah S.W.T maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jual-beli (bai’ah) yang telah kamu meteraikan itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang amat besar.”

Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Hajj ayat 78:

Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dialah yang memilih kamu (unutk mengerjakan suruhan agamaNya) dan Dia tidak menjadikan atas kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu:”Orang-orang Islam” semenjak dahulu.”

Juga dalam surah Al-Maidah ayat 35, At-Taubah ayat 41, As-Saff ayat 11 dan lain-lain. Rasulullah S.A.W menerangkan:

“Orang yang mati terkorban itu ada tiga kategori. Kategori lelaki mukmin yang berjihad dengan nyawa dan hartanya di jalan Allah; sehingga bertemu musuh dan dia terus berjuang dan bertarung sehingga dia terbunuh. Ini adalah syahid Al-Mumtahan (iaitu orang yang Allah lapangkan dadanya untuk menerima Islam) yang akan berada di syurga Allah, di bawah ‘arasyNya. Orang ini tidak diatasi oleh para nabi kecuali dengan darjat kenabian sahaja. Seterusnya orang yang berjihad didorong oleh rasa bimbang dan takutnya terhadap dosa yang telah dilakukan. Dia tampil berjuang dengan nyawa dan harta bendanya fisabilillah. Apabila bertemu musuh dia lantaa bertarung dan berjuang sehingga terkorban. Syahid disebut Masmasah (atau Mumahhasah; iaitu dengan terbunuhnya dia fisabilillah segala dosanhya dilupuskan). Orang ini dosanya dihapuskan justeru pedang dapat melupuskan dosa-dosa. Dia dibawa masuk ke syurga menurut pintu mana yang dia suka. Syurga mempunyai lapan pintu sebahagian lebih utama daripada sebahagian yang lain. Neraka mempunyai tujuh pintu. (Akhirnya) lelaki munafik yang berjihad dengan nyawa dan hartanya, sehingga apabila dia bertemu musuh dia terus berjuang fisabilillah sehinggalah dia terbunuh. Orang ini akan masuk neraka justeru pedang tidak dapat melupuskan kemunafikan(nya).”

Al-Mukjam Al-Kabir li At-Tabrani: 13758

Rasulullah S.A.W menerangkan hebatnya ganjaran Allah S.W.T kepada orang mati syahid dengan sabdanya:

“Tiada sesiapa yang masuk syurga ingin kembali semula ke dunia untuk melihat apa-apa miliknya di dunia kecuali orang yang mati syahid. Dia sentiasa bercita-cita untuk kembali ke dunia dan (ingin) terkorban sepuluh kali justeru melihatkan besarnya kurniaan kemuliaan (Allah kepada orang yang mati syahid).”

Dalam riwayat lain: “Kerana melihat keutamaan mati syahid.”

Sahih Bukhari: 2606

Rasulullah S.A.W menerangkan dalam hadis riwayat Abu Daud:

“Orang yang mati syahid akan dapat merekomendasikan tujuh puluh orang ahli keluarganya.”

Sunan Abi Daud: 2160

Rasulullah S.A.W menegaskan lagi dalam hadis sahih:

“Apabila rakan-rakan kalian terkorban, Allah tempatkan roh mereka ke dalam tubuh beburung syurga yang hijau. Beburung tersebut berterbangan di atas sungai-sungai syurga. Mereka makan buah-buahan syurga, hinggap beristirehat di atas lantera emas yang tergantung di bawah ‘arasy. Apabila mereka tahu betapa istimewanya makan minum dan tempat istirehat mereka, mereka berkata: Siapakah gerangan yang boleh menyampaikan perihal kita kepada para sahabat bahawa kita hidup diberi rezeki di syurga supaya mereka tidak keberatan untuk berjihad dan tidak berdiam diri untuk terlibat dalam perjuangan. Lalu Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Imran ayat 169: Akulah yang akan menyampaikan hal kalian kepada mereka. Kemudian Allah menurunkan firmanNya: Jangan kalian sangka orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati; sebaliknya mereka hidup di sisi Tuhan mereka sambil mendapat rezeki.”

Sunan Abi Daud: 2158

Kelemahan umat Islam kini adalah kerana malapnya semangat dan keupayaan untuk berjihad. Ini kerana prasyarat untuk berjihad itu – dalam situasi yang ideal dan ada pilihan – memerlukan keimanan yang kental, ilmu pengetahuan yang luas, kebijaksanaan berstrategik dalam perjuangan, peralatan dan teknologi persenjataan yang selaras dan setanding kalau pun tidak melebihi atau mengatasi musuh.

Rasulullah S.A.W menegaskan dalam konteks ini:

“Bangsa dan umat lain hampir mengeronyok kamu laksana semut mengurung makanannya. Kemudian tampil seorang bertanya: Adakah kerana bilangan kami sedikit masa itu. Baginda S.A.W menjawab: Tidak, bilangan kamu ramai tetapi ibarat buih di permukaan air laju. Allah merenggut rasa gerun dari dada musuh kamu terhadap kamu, sebaliknya dibibitkan dalam hati kamu penyakit al-Wahn. Sahabat bertanya: Apakah al-Wahn itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Cinta dunia dan takut mati.”

Sunan Abi Daud: 3845

Dalam era musuh-musuh Islam memerangi Islam dan umat Islam secara global, mereka perlu melakukan pertahanan dan serangan balas secara global juga. Namun mereka perlu bijak menggunakan segala prasarana dan wahana asas yang membolehkan mereka menang. Berjuang dan bertarung tanpa penyusunan strategi yang betul tentu akan menyebabkan kekalahan dan kehinaan.

Pusat kajian stategik yang setanding dengan pusat kajian seperti RAND Corporation dan sebagainya perlu diwujudkan di seuruh negara umat Islam bagi merangka strategi yang betul dalam perlawanan ini. Seluruh tenaga pakar dalam pelbagai bidang teknologi terkini perlu digembleng. Seluruh sumber ekonomi dan sistem kewangan dan polisi fiskal yang betul perlu digembleng. Seluruh jentera penerangan, informasi, telekomunikasi dan persenjataan perlu diarahkan demi memenangi pertarungan besar ini. Jentera risikan dunia Islam yang lebih rapi perlu mengatasi jentera risikan Israel dan Barat yang memusuhi Islam. Dengan kebijaksanaan yang tinggi,tentu kita akan dapat mengalahkan musuh dengan semangat jihad dan cinta  syahid yang tinggi mengatasi semangat dan daya juang musuh.

Akhirnya kita mendoakan siapa juga yang mati syahid kerana memperjuangkan Islam seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, ataupun mereka yang teraniaya sehingga mati syahid. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmatNya kepada roh mereka. Dalam masa yang sama kita harus bersiap sedia dan berhati-hati supaya tidak mati dalam keadaan nifaq, kerana bencananya sangat besar di akhirat kelak.


No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: