Isu #9: Amalan-amalan Nisfu Syaaban

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Ada yang terkeliru dengan isu sambutan malam Nisfu Syaaban. Ada yang berpendapat ia adalah bid’ah dan haram dengan i’tiqad membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali dengan membawa pendapat-pendapat ulama muktabar serta nas-nas ketiadaan sambutannya. Ada pula ustaz khususnya ustaz-ustaz berpendidikan tradisional mengatakan tidak mengapa menyambut malam Nisfu Syaaban dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali dengan niat-niat yang tertentu.

JAWAPAN:

Terdapat berbagai-bagai hadis daripada Rasulullah S.A.W yang menyatakan keutamaan bulan Rejab. Umpamanya seperti hadis berikut:

“Aisyah R.A meriwayatkan bahawa aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W meneruskan puasa setiap hari (dengan sempurna) selain daripada (hari-hari) bulan Ramadhan. Aku tidak pernah pula melihat baginda banyak berpuasa (seperti yang dilakukannya) dalam bulan Syaaban.”

Al-Bukhari (1969) dan Muslim (1156)

Dalam riwayat Bukhari (1970), ada juga riwayat yang menyatakan yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W berpuasa dalam bulan Syaaban seluruhnya. Dalam hadis riwayat Muslim pula terdapat riwayat:

“Rasulullah S.A.W terus berpuasa dalam bulan Syaaban kecuali beberapa hari sahaja.”

Dalam hadis riwayat Ahmad (21753) dan Nasaii (2357) dalam hadis daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata:

“Rasulullah S.A.W tidak berpuasa dalam bulan-bulan yang lain seperti baginda berpuasa dalam bulan Syaaban. Kemudian beliau bertanya kepada baginda: Mengapa tuan banyak berpuasa dalam bulan Syaaban dan tidak seperti pada bulan-bulan yang lain. Baginda menjawab: Itulah bulan yang sering dlupakan; iaitu bulan antara Rejab dan Ramadhan. Bulan ini ialah bulan dimana amalan seseorang diangkat kepada Tuhan Rabbul ‘Aalamin Azza Wajalla. Oleh itu, aku suka kalau (pahala) amalanku diangkat kepadaNya dalam keadaan aku berpuasa.”

Ibnu Majah meriwayatkan hadis berikut:

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka hidupkanlah malamnya (dengan ibadah) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Kerana Allah S.W.T turun selepas matahari terbenam ke langit dunia dan berkata: Adakah sesiapa yang memohon keampunan-Ku untuk Aku ampunkan (dosanya). Adakah sesiapa yang memohon rezeki untuk Aku berikan rezeki (kepadanya). Adakah sesiapa yang menghadapi bala bencana (yang bermunajat) untuk Aku sejahterakan dirinya. Demikianlah halnya sampai waktu terbit fajar.”

Hadis nombor 1378

(Sesetengah ulama menganggap hadis ini Dhaif kerana malam yang sebegini adalah malam Lailatul Qadr, bukan malam Nisfu Syaaban).

Keterangan ini menunjukkan bahawa dorongan untuk melakukan ibadah kepada Allah S.W.T dengan membaca Al-Quran ataupun solat dan sebagainya adalah untuk  mengatasi amalan bid’ah yang sangat bercanggah dengan Islam seperti menjadi penonton Jom Heboh, Malaysian Idol, sibuk dengan majlis makan besar untuk menjamu selera dan menarik orang ramai supaya menjadi penyokong pihak tertentu dan lain-lain. Membaca Al-Quran, apa jua surah, mengulangi bacaan dan sebagainya adalah suatu yang dituntut dalam syarak. Oleh itu, selagi amalan tersebut mempunyai asas dalam Islam dan membawa maslahat syar’iah maka ia masih dalam lingkungan yang dibolehkan.

Sungguhpun begitu, perbuatan mengadakan perayaan besar secara khusus dengan mengada-adakan sesuatu amalan yang tidak menjadi amalan Rasulullah S.A.W ataupun mengadakan kegiatan-kegiatan yang bercanggah dengan syarak termasuk dalam golongan bid’ah yang dilarang.

Para alim ulama menegaskan bahawa bid’ah terbahagi kepada lima:

  1. Wajib: iaitu dalam bentuk menangkis kekeliruan golongan yang sesat ataupun tugas mempelajari nahu dan sebagainya.
  2. Sunat: Seperti membina sekolah dan rumah latihan, mengalunkan azan di atas mimbar dan mengadakan sesuatu amal ihsan yang tidak pernah dilakukan pada zaman leluhur Islam.
  3. Harus: Seperti merekacipta berbagai-bagai jenis juadah atau kuih-muih untuk jamuan hari raya.
  4. Makruh: Seperti berlebih-lebihan menghias masjid ataupun menyepuh kitab Al-Quran dengan emas.
  5. Haram: Seperti melakukan sesuatu yang tidak mempunyai dalil sunnah atau bercanggah dengannya atau tidak ada apa-apa faedah syar’iah yang berkaitan dengannya.

Selain daripada itu, membaca Al-Quran – walau apa jua surah – dengan niat memohon kepada Allah S.W.T supaya memberi berkat dan rahmat serta mendapat pahala yang dijanjikan tidaklah salah, kerana itulah yang dituntut oleh syarak. Namun kefahaman yang jitu mengenai ajaran agama dan kefahaman yang jelas mengenai ayat-ayat Al-Quran serta bagaimana ia boleh membawa kebaikan kepada umat dengan pelaksanaannya terhadap sistem perundangan, pendidikan dan kebudayaan perlu difahami dengan saksama dan betul. Faedah daripada pembacaan Al-Quran dapat dicapai semaksimumnya dengan pelaksanaan tuntutannya dalam realiti melalui jihad dan usaha yang berterusan.

Sebenarnya kita tidak harus tergesa-gesa untuk membid’ahkan perkara yang mempunyai asas atau dalil syarak. Kita juga tidak seharusnya begitu mudah terikut-ikut dengan amalan bid’ah yang bercanggah dengan syarak. Lingkungan dan persekitaran kini menuntut supaya umat Islam memperbanyak situasi yang mendorong mereka mengamalkan ajaran agama, sama ada dengan mendengar ceramah atau solat malam, membaca zikir yang ma’thur dan sebagainya. Sebab itu, sambutan maulid nabi umpamanya, yang dipenuhi dengan acara yang bermanfaat dibolehkan dalam Islam demi kebaikan yang boleh diraih dengan kegiatan berkenaan.

Wallahu A’lam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: