Isu #8: Allah Membahasakan Diri Dengan Kami, Bukan Aku

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

SOALAN:

Mengapa Allah menggunakan perkataan KAMI dan bukannya AKU seperti dalam ayat 23 Surah Al-Baqarah:

Maksudnya: “Jika kamu ragu-ragu tentang Al-Quran yang KAMI turunkan kepada hamba KAMI (Muhammad), maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya dan panggillah saksi-saksi kamu selain daripada hamba Allah jika kamu orang yang benar.”

Begitu juga dalam ayat 7 dan 8 Surah Al-Kahfi serta beberapa ayat lain dalam Al-Quran, ditafsirkan Allah dengan KAMI bukan AKU. Dari segi ilmu tauhid, Allah S.W.T itu adalah Esa/satu/tunggal (Ahad). Adakah tafsiran tersebut salah ataupun terdapat penjelasan mengenainya?

JAWAPAN:

Memahami Al-Quran bukan setakat berpandukan satu bidang ilmu sahaja tetapi seseorang itu perlu memahami selok-belok bahasa Arab, ilmu sebab-sebab turunnya ayat, nasikh mansukh dan ilmu lain lagi. Ilmu ini mesti dipelajari daripada guru yang muktabar dan bukan dari kalangan orientalis yang sering berniat serong dalam memahamkan anak didik Muslim mereka.

Ulama, buku atau kitab rujukan yang dipelajari mestilah jitu dan betul. Jika tidak, kita bakal menjadi mangsa penyelewengan penulis jahil, iblis dan konco-konconya. Sebab itu, para alim ulama dahulu tidak terkeliru dengan perkataan seperti Nahnu dan sebagainya dalam Al-Quran. Mereka tidak pernah berhujah bahawa Allah S.W.T lebih darpada satu kerana ganti nama ‘ramai’ yang Allah S.W.T gunakan dalam ayat-ayat tententu dalam Al-Quran. Ini kerana mereka faham selok-belok ayat dan ungkapan Al-Quran.

Perkataan ‘Nahnu’ adalah ganti nama pertama yang membawa makna ramai dalam ayat-ayat di atas sama sekali tidak membawa maksud Allah S.W.T lebih daripada satu. Sebab Allah S.W.T Maha Esa. Dia sendiri telah menyebutkan dengan jelas dalam ayat-ayat Al-Quran:

Maksudnya: “Bahawasanya tuhan kamu adalah Tuhan yang satu.”

Al-Kahfi: 110, Fussilat: 6, Al-Ankabut: 46, Al-Hajj: 34 dan Al-Anbiya’: 108

“Katakanlah (Muhammad): Sesungguhnya aku hanya sekadar pemberi peringatan dan (sebenarnya) tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa lagi Maha Gagah.”

Shad: 65 dan lain-lain ayat

Dari segi Balaghah penggunaan perkataan ‘Nahnu’ ini membawa makna yang lebih mulia dan terhormat berbanding perkataan saya sahaja. Seseorang yang berucap dengan perkataan kami bagi merujuk kepada dirinya ialah dengan maksud memberi nilai tambahan yang lebih kepada dirinya dan bukan bermakna ‘dia’ yang berucap itu ramai. Dari sudut bahasa Arab boleh kita berkata kepada seseorang tetamu kita dengan perkataan Anta atau awak. Tapi untuk lebih memuliakan martabatnya – dalam konteks ini – kita boleh mengungkapkan perkataan Antum, ganti nama yang menunjukkan ramai (walaupun tetamu itu seorang diri). Apatah lagi ungkapan ini dilihat lebih utama dan lebih memuliakan tetamu berkenaan.

Sebab itu ganti nama penutur pertama dalam sighah jama’ atau ramai dalam ayat berkenaan adalah untuk menambahkan kemuliaan martabat penutur dan tidak boleh dijadikan alasan bahawa Tuhan mengaku dirinya lebih dari satu. Perkara seperti ini sering menjadi alasan pengikut Kristian dan lain-lain untuk meragukan umat Islam mengenai ke-Esaan Tuhan dan menyatakan bahawa Tuhan sendiri menyebut dirinya sebagai Kami yang menunjukkan Dia lebih daripada satu. Pemahaman makna yang dangkal serta tanda yang menunjukkan orang berkenaan tidak memahami bahasa Arab seperti ini tidak boleh menentang pengungkapan yang jelas oleh Allah bahawa diriNya adalah Esa dan jangan kamu katakan tiga dan sebagainya, seperti yang terkandung dalam ayat-ayat yang sarih dan tegas. Allah S.W.T berfirman, umpamanya dalam surah An-Nisa’ ayat 171:

Maksudnya: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga.” Berhentilah (daripada mengatakan seperti itu), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Allah sememangnya Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala apa yang ada di langit  dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”

Sila rujuk terjemahan juzuk pertama dan seterusnya; kitab Tafsir al-Munir karangan Syeikh Wahbah al-Zuhaili terbitan Persatuan Ulama Malaysia bagi mendalami pengetahuan mengenai Al-Quran.


2 comments so far

  1. Zinnirah Al Jannah on

    Pernah seorang Ustaz memberitahu penggunaan kata nama Kami bagi Allah adalah ibarat kata nama khas, seperti Raja yang membahasakan dirinya Beta.🙂

  2. jannah on

    alhamdulillah..terima kasih atas perkongsian..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: