Isu #7: Yoga Hukumnya Haram

Isu senaman yoga bukan isu yang baru, juga tidak terlalu lama. Mungkin ada diantara kita yang sudah faham, mungkin ada yang masih tertanya-tanya apakah sebenarnya isu di sebalik pengharaman yoga. Moga perkongsian ini dapat memberi jawapannya…

Sumber buku: Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam
Oleh: Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat

SOALAN:

Yoga adalah suatu bentuk senaman yang diamalkan oleh penganut agama Hindu. Namun, mutakhir ini, ia mula diamalkan oleh pelbagai kaum. Walau bagaimanapun, majlis fatwa telah memfatwakan senaman yoga ini sebagai haram kerana ia diiringi dengan bacaan jampi mantera oleh pengamalnya. Apa pandangan Tuan Guru mengenai pengharaman yoga? Bagaimana pula dengan amalan membaca jampi mantera yang turut diamalkan oleh orang-orang Melayu? Apakah pula hukumnya?

JAWAPAN:

“Saya secara peribadi bersetuju dengan fatwa ini, saya rasa ia tidak masalah untuk diwartakan di sini… terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk melaksanakannya. Saya tidak tahu apa yang disebut (mantera) jampi yoga, tetapi disebabkan yoga ini datang daripada mereka yang tidak bertuhankan Allah, sudah pasti dalam jampi dia sebut nama benda lain.”

Utusan Malaysia, 26 November 2008


Jampi dan Mantera

Perkataan dan amalan jampi telah digunakan dengan meluas oleh orang-orang Melayu pada zaman dahulu kala. Dalam keadaan tebalnya pengaruh kepercayaan animisme dan Hindu, agama Islam yang berkembang pada ketika itu masih mengandungi saki-baki syirik. Jampi dan mantera yang seakan-akan perkataan doa ini digunakan bagi tujuan perubatan, perisai melindungi diri daripada bala, pevidnidng bagi mempertahankan diri atau saluran untuk menyampaikan hajat kepada sesuatu zat yang dianggap  lebih berkuasa. Dalam keadaan bercampur-baur antara kuasa Allah dan kuasa-kuasa lain yang bersekutu itulah terdapat banyaknya amalan khurafat yang menyalahi aqidah Islam. Pada umumnya, ia begitu. Hal ini terbawa-bawa hinggalah ke awal detik kemerdekaan. Malangnya, sungguhpun kita merdeka daripada penjajah tetapi kita masih dibelenggu oleh pemikiran syirik yang seakan-akan sengaja diternak oleh fahaman kebangsaan melalui pemimpin dan pejuang kebangsaan yang diamanahkan memerintah negara. Mereka meneruskan agenda penjajah. Inilah punca utama suburnya ajaran sesat seperti Ayah Pin, Mat Matahari, Hasan Anak Rimau dan lain-lain.

Jampi berbeza dengan doa kerana doa adalah luahan hati manusia yang bersifat hamba kepada zat yang ghaib dan Maha Berkuasa (iaitu Allah) kerana Allah itulah “tempat bergantungnya segala sesuatu.” (Surah Al-Ikhlas, ayat 2). Lebih-lebih lagi apabila sesuatu doa itu diucapkan sendiri lafaznya melalui lidah mulia Nabi Muhammad S.A.W dan diikuti oleh orang Islam lainnya. Jampi adalah perkataan-perkataan yang disusun oleh manusia bagi memohon kepada suatu zat yang kemungkinan besar juga tidak difahami asal-usul dan hakikat kewujudannya. Sudah tentu, zat yang disebut-sebut akan memenuhi hajat pengamalnya menerusi jampi itu adalah zat yang lain selain daripada Allah S.W.T. Ini tentu sekali akan menyelewengkan aqidah. Menurut apa yang didedahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melalui laporan-laporan akhbar, jampi dan mantera inilah yang dikatakan turut ada dalam senaman yoga. Di sinilah tempat yang saya bersetuju dengan fatwa Majlis Fatwa.


Penyatuan Dengan Allah

“Tidak ada ajaran dalam Islam melalui Al-Quran atau hadis yang mengatakan senaman boleh menyatukan diri dengan Tuhan.”

Utusan Malaysia, 26 November 2008

Begitu juga dengan istilah ‘penyatuan dengan Tuhan’ yang dikatakan turut terkandung dalam senaman yoga. Hakikatnya Tuhan ini bukan seperti manusia yang kita boleh berunding, berbincang atau menyatukan diri. Dalam Islam, kita tidak boleh menyatukan diri kita dengan Allah. Ini kerana Allah S.W.T bersifat dengan sifat yang Maha Quddus dan Maha Sempurna, sedangkan manusia pula bersifat dengan segala sifat kelemahan.

Kedua-dua unsur ini begitu berbeza. Ia bagaikan siang dan malam atau langit dan bumi. Kedua-duanya mustahil untuk disatukan, lebih-lebih lagi melalui kaedah dan disiplin senaman sama ada dalam keadaan duduk, bersila, bertinggung, berdiri, berbaring atau pun tidur terlentang. Apa yang boleh dilakukan oleh manusia mukmin hanyalah bertaqarrub atau berzulfaa ilallah iaitu cuba mendekatkan atau merapatkan diri kepada Allah. Ini sememangnya digalakkan supaya syaitan jauh daripada kita dan malaikat pula menghampiri. Walau bagaimanapun ia mesti melalui kaedah dan uslub yang ditunjukkan secara sahih oleh Rasulullah S.A.W. Di sinilah letaknya rahsia dan hikmah solat. Jika mengambil kaedah yang ditunjukkan oleh ‘bukan Nabi’ sudah tentu kita akan tersesat.

Saya tidak faham bagaimana orang ramai boleh begitu yakin bahawa melalui amalan-amalan tertentu seseorang itu boleh bersatu dengan Tuhan. Persoalannya, Tuhan yang bagaimana? Apabila Rasulullah S.A.W tidak mnyebut bahawa tiada manusia boleh menyatukan dirinya dengan Allah S.W.T seperti yang diungkapkan oleh kumpulan al-Hallaj melalui konsep wahdatul wujud misalnya, tiba-tiba seseorang yang tentunya ‘bukan Nabi’ mengesahkan bahawa pakej senaman bernama yoga itu boleh menjanjikan pengamalnya bersatu dengan Tuhan. Pada saya ini kerja khayal lagi menyesatkan.


Allah itu Siapa?

Kembali kepada kekeliruan mengenai dakwaan bahawa sesuatu senaman itu kononnya boleh digunakan untuk bersatu dengan Tuhan. Dakwaan yang mengelirukan ini mungkin berpunca daripada penafsiran terhadap Tuhan. Dalam agama lain, Tuhan itu datang kemudian. Ia dilahirkan atau diciptakan lebih kemudian. Ia sama ada dilahirkan atau dibentuk, dipahat, ditebuk, dikikir, dilicinkan dengan kertas pasir dan dicat. Kemudian diletakkan di tempat yang tinggi, diapi dan diasap lalu dipuja dan disembah. Ini belum lagi dicampur dengan sembahan-sembahan berupa pokok kayu besar, busut, kubur atau orang-orang yang dipercayai keramat. Di sini, jika kita boleh bertanya, mana yang datang lebih dahulu; gulai atau tukang masak gulai? Mana dulu datangnya tukang dan produk yang dihasilkan? Logiknya, siapa yang patut disembah olah siapa?

Begitu juga isme dan aliran-aliran pemikiran sama ada ia berupa fahaman materialisme, nasionalisme, sosialisme dan demokrasi. Ia datang lebih lewat daripada Tuhan. Ia hasil ciptaan manusia yang juga makhluk yang dicipta. Hatta dunia ini sendiri pun. Ia (fahaman, isme dan aliran pemikiran ini) datang lebih lewat daripada Tuhan yang bersifat azali. Sebelum adanya alam dan manusia, Tuhan yang bernama Allah itu sudah sedia ada. Ini logiklah kerana zat Tuhan itu mesti ada terlebih dahulu. Dia yang mencipta segala-galanya, Allazi kholaqayang bermaksud Tuhan yang mencipta (lihat surah Al-‘Alaq, hujung ayat 2). Adanya alam ini adalah sebahagian daripadaNya.

Dunia dicipta oleh Allah S.W.T semata-mata kerana Dia wujud lebih awal dari dunia dan sekalian makhluk yang ada di dalamnya. Allah Al-Khaliq (Maha Pencipta). Dia Al-Bari (Maha Pemberi Rupa), Al-Musawwir (Pemberi Rupa Bentuk), Al-Qahhar (Yang Maha Gagah Kuasa). Allah ini yang mencipta manusia. Jika bukan Allah yang menciptakan semua ini, maka cuba nyatakan, siapa? Mustahil semuanya ini terjadi dengan sendiri. Ini semua mesti diyakini dengan sepenuh hati. Hendak yakin sepenuh hati inilah manusia mesti akur dengan sepenuh i’tiqad, mulut dan hati. Inilah punca datangnya ikrar melalui lafaz Ash hadu’ yang bermaksud. “Aku sanggup menjadi saksi.” Di atas iman dan keyakinan itulah, manusia mukmin sanggup bersaksi bahawa “Tiada Tuhan yang aku sembah melainkan Allah.”


Adakah Tuhan Lebih Daripada Satu?

Tuhan itu pula tidak boleh ada banyak. Dia tidak bole ramai. Jika banyak, ramai dan sama gagah pula, maka dunia dan alam ini akan cepat berada dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir. Ia akan cepat binasa kerana salah satu daripada mereka mesti mahu membuktikan siapa yang lebih kuat. Ini menyebabkan ada ‘Tuhan’ yang mahu menguasai ‘Tuhan’ yang satu lagi. Pendek kata, apa benda sekalipun, jika dia ramai dan sama gagah dia akan bertengkar.

Katakan (na’uzubillah) untuk tujuan perbincangan lagi, Tuhan itu ada dua, maka pertelagahan akan timbul apabila ‘Tuhan A’ memutuskan untuk menaikkan matahari manakala ‘Tuhan B’ pula sebaliknya. ‘Tuhan A’ mahu bagi rezeki manakala ‘Tuhan B’ mahu menyekatnya. ‘Tuhan A mahu menurunkan hujan manakala ‘Tuhan B’ mahu menahannya. Lantaran itu, kita diajar untuk menerima hakikat bahawa Tuhan itu mesti satu. Kita diajar oleh Allah untuk sama-sama berpakat iaitu: “Katakanlah Dialah (Allah) Tuhan yang Maha Esa.” (Surah Al-Ikhlas, ayat 1).


Tuhan Mesti Memerintah

Sifat mutlak Tuhan yang bernama Allah itu mesti pula mempunyai keupayaan mengeluarkan perintah. Dan, perintah wajib datang daripada Dia sahaja. Perintah pula perlu bersifat satu hala. Jika tidak, Dia tidak akan digeruni dan ditakuti, untuk seterusnya dipatuhi dan ditaati.


Tuhan Mesti Maha Berkuasa

Lanjutan daripada keupayaan memerintah, maka Dia wajib pula bersifat Maha Berkuasa. Tidak ada perkongsian pada kuasaNya. Bahkan, wajib bagiNya bersifat dengan segala sifat yang Maha Berkuasa itu. Tidak ada erti Dia adalah Tuhan jika tidak berkuasa. Dalam lingkungan tertentu, ibu bapa berkuasa. Dalam batas-batas tertentu, guru-guru juga berkuasa. Begitu juga dengan kerajaan.

Ertinya, di sini sungguhpun makhluk boleh dilihat ada kuasa di sana-sini, tetapi kekuasaan makhluk tidak mutlak. Is bersifat tertakluk. Ia bersyarat dengan segala macam syarat selagi Allah S.W.T mengizinkannya.


Tuhan Tempat Penyerahan

Lantaran ke-MahakuasaanNya dalam segala hal itulah manusia mesti patuh kepada perintah dan larangan Tuhan. Penyerahan itu boleh berlaku dalam solat dan di luar waktu solat. Manusia pada hakikatnya tidak memerlukan pakej-pakej senaman baru atau apa jua disiplin pergerakan sekalipun untuk kononnya mahu bergerak dan membuat penyatuan dengan Tuhan. Sementelah manusia itu sendiri tidak boleh sama sekali menyatukan dirinya dengan zat Tuhan kerana kedua-duanya adalah unsur yang sama sekali berlainan, amat berlainan.

Menjauhi segala kesyirikan, melalui solat lima waktu, Islam menanam dengan sungguh-sungguh sifat memperhambakan diri kepada Allah dalam erti kata menyerah seluruh “Solatku, setiap aktivitiku, hidupku dan matiku keranaMu dan untukMu, Tuhan sekalian alam.” Ini jelas terpancar dalam maksud doa Iftitah yang selalu dibaca oleh setiap orang Islam. Dari sinilah berpuncanya segala ketenangan kerana dengan menyerah segala buruk baik dan jatuh bangun nasib dirinya kepada Tuhan, manusia itu automatik akan menjadi tenang. Dia mudah menjadi aman dan tenteram. Hidupnya tidak akan berada dalam keadaan tertekan dan keluh-kesah yang berpanjangan kerana di sana ada tempat berlindung dan tempat sandaran untuk dia mengadu, menangis dan merayu kepada satu zat yang Maha Kaya, Maha Perkasa (Al-Aziz), Maha Pemurah (Ar-Rahman) lagi Maha Pengasihani (Ar-Rahim).

Tuhan yang bernama Allah inilah yang menjadi sumber dan punca kepada segala ketenangan. Jika kita ikuti pengesahan Mikaeel Jackson @ Michael Jackson (nama lamanya) ketika memeluk Islam, dia ada menyebut tentang ‘hati yang tenang’. Tuhan bagi orang Islam tidak bersifat samar, tidak bersifat lemah, tidak bersifat dua tiga dan tidak bersifat dicipta. Jauh daripada segala kelemahan dan kealpaan, Tuhan sentiasa berada dalam keadaan fully perfect yakni titik kesempurnaan penuh dan berpanjangan terus-menerus (in complete perfection that last forever). Dialah yang Maha Pelindung dan Dialah tempat terakhir terhentinya segala penyerahan.


Tuhan Mesti Mampu Membalas

Selaras dengan sifatNya yang Maha Berkuasa, maka Dia memberitahu seluruh manusia bahawa Dialah “Raja Manusia” atau malikin nas’ (Surah An-Nas, ayat 2). Dengan perintah dan larangan, Dia menguji kesetiaan dan kepatuhan manusia. Setiap taat dan maksiat manusia walau sebesar zarah sekalipun akan dinilai (Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8). Dia lalu mengesahkan bahawa “Dia menguasai hari pembalasan” atau disebut maa likiyau middiin’ (Surah Al-Fatihah, ayat 4). Di hari pembalasan itulah Dia akan mengadili setiap hambaNya dan memberi nikmat syurga atau azab neraka bagi sesiapa jua yang Dia kehendaki.


Tuhan Dalam Islam ialah Begini

Selain daripada apa yang dikupas sifat Allah secara ringkas seperti di atas, Dia sendiri telah menerangkan dan menjelaskan sifat-sifat penuh DiriNya melalui 99 nama yang Dia sendiri secara mutlak menamakan diriNya. Berbeza dengan tuhan-tuhan lain yang dicipta oleh makhluk, pemujanya terpaksa menamakan sifat-sifat yang kononnya ada pada diri tuhan-tuhan itu. Misalnya, Tuhan Pencipta (Brahma), Tuhan Pemusnah (Shiva), Tuhan Pelindung Alam (Vishnu), Tuhan Pemberi Rezeki, juga Tuhan Pambawa Bala. Oleh kerana manusia itu sendiri tidak sampai keupayaan berfikirnya untuk menjangkau dan memehami sifat Tuhan, maka secara belas ihsan, Allah S.W.T mengutuskan pengantara yang terdiri daripada Rasul atau nabi-nabi. Ini menjadikan Islam ini agama samawi yang mempunyai Nabi.

Berbeza sama sekali dengan agama-agama lain yang lebih berasal daripada ajaran falsafah dan pemikiran. Ia pada umumnya tidak bernabi. Apabila tidak mempunyai nabi, maka dia berguru dengan pemikir dan pendeta yang lebih banyak meneka dan meramal. Pada peringkat itu, apa jaminan para paemikir dan pendeta itu tidak dihasut oleh amalan budaya kuno dan tradisi zaman-berzaman atau lintasan dan waham was-was yang dimunculkan oleh syaitan? Pendek kata, walau secerdik mana pendeta-pendeta, pemikir dan tokoh falsafah, selagi mereka ‘makhluk’, maka mereka tetap berada dalam pelbagai kelemahan dan kekurangan. Dalam keadaan penuh kesamaran dan kedhaifan itulah mereka mula mentafsir apa sahaja yang berada di sebalik alam nyata. Habis segala unsur fenomena alam itu mahu dipecah atau disatukan – untuk diraba dan ditafsirkan hakikatnya. Tanah, air, api dan angin telah diberi nama roh-roh tertentu mengikut asal sempit mereka. Ambil sahaja unsur alam langit misalnya. Dalam Islam, Al-Quran sendiri yang memberikan penjelasan sejelas-jelasnya. Langit itu tujuh lapisan jumlahnya. Di sebalik langit ada arasy. Di sana ada pula syurga dan neraka. Dalam perjalanan Rasulullah S.A.W sewaktu di Isra’ Mikrajkan, ada diriwayatkan bahawa baginda ada menjenguk syurga dan neraka. Puncak segala langit ialah Sidratul Muntaha. Di sisi ahli falsafah dan pemikir yang tidak dipimpin petunjuk wahyu dan dipandu oleh Nabi, langit itu apa?

Seperti yang disebut oleh seorang pengkaji yang menulis dalam akhbar New Sunday Times, “Untuk mencapai tingkat penyatuan (union) dengan Tuhan, seseorang penganut Hindu itu perlu menempuh lapan langkah iaitu:

  1. Yama – mengandungi lima amalan etika dan adab.
  2. Nijama – disiplin yang termasuk penjagaan kebersihan tubuh, ketenangan minda, mempelajari ilmu agama dan beramal ikhlas kepada tuhan semata-mata.
  3. Asana – melibatkan kawalan letak tubuh dan pernafasan, meditasi dan bacaan mantera.
  4. Pranayama – kawalan pernaftasan yang betul untuk menenangkan psikologi.
  5. Pratyahara – menarik dan membebaskan diri daripada belenggu segala objek kebendaan.
  6. Dharana – konsentrasi dan tumpuan.
  7. Dhyana – meditasi.
  8. Samadhi – penyerapan dan penyatuan penuh dengan Tuhan.”

Dipetik daripada rencana fokus, NST, 30 November 2008

Jelas di sini, yoga bukan lagi suatu set disiplin senaman sembarangan untuk mengurangkan ‘stres’ dan memulihkan kesihatan badan yang bersifat biasa. Jauh daripada itu,

“ia pada akhirnya berhajatkan penyatuan dengan Tuhan. (It’s ultimate purpose is to become one with God)”

Lihat NST, 30 November 2008


“Yoga adalah 100 peratus daripada ajaran Hindu. Secara analogi, arak itu haram kerana ia memabukkan. Namun, ada orang menyanggah dengan mengatakan tidak mengapa minum sedikit arak kerana ia tidak akan memabukkan. Tetapi arak tetap arak kerana ia haram. Begitu juga dengan yoga yang haram kerana mengamalkan ajaran Hindu. Walaupun diamalkan sedikit tetapi yoga tetap yoga.”

Lihat rencana oleh Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim, Berita Minggu, 30 November 2008

Ia samalah juga dengan racun. Walau sedikit sekalipun, racun tetap racun. Dengan kata-kata daripada petikan ini dan segala perincian daripada apa yang telah sama-sama kita turunkan ini, umat Islam dan belum Islam perlu lebih bertenang. Mari kita terus merenung dan membuat pertimbangan yang lebih cermat sebelum membuat pendirian yang selanjutnya.

Wallahu’Alam.


No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: