Hari Pertama Tahun Baru

Bismillahirrahmanirrahim…

1 Januari 2010… Selamat Tahun Baru~! Bersyukurlah kerana kita masih bernyawa, terus merasa nikmat hidup dariNya. Semoga dapat kita menambah lagi amalan yang kurang. Jatuh pada hari Jumaat, pastinya ramai yang menganggap ini perkara yang besar. Itu biasa… tiada salahnya. Cuma janganlah sehingga ada yang melakukan perkara yang bercanggah dengan syara’. Itu bahaya!

Solat Jumaat semalam tak dapat pakai baju Melayu yang cantik. Sekadar dapat pakai baju kemeja yang berkolar. Tak apalah… asalkan bersih, kemas & wangi (^.^). Khutbah pula disampaikan oleh Khatib yang digemari cara penyampaiannya. Beliau sering menyampaikan khutbah dengan sebutan yang jelas, kuat dan bersemangat. Sewaktu membacakan firman Allah pula sudah tentulah, segala ‘mahraj’nya terang, sehingga perbezaaan antara ra & gho, baris atas hamzah & ‘ain dapat didengari dengan mudah.

Khutbah bercerita tentang Peranan Ibu Bapa Mendidik Anak-anak. Tajuk ini menjadi pilihan memandangkan hari persekolahan yang bakal tiba. Kembalinya anak-anak sekolah bermakna akan berakhirnya cuti mereka bersama keluarga dan ibu bapa (mak bapak) diseru agar memanfaatkan masa yang tinggal itu bersama anak-anak dengan baik. Bagi anak-anak pula dinasihatkan janganlah terlalu mendesak ibu bapa untuk memenuhi keperluan persekolahan dengan segalanya serba baru. Berjimatlah serta rasa cukuplah dengan peralatan yang masih elok untuk digunakan.

Salah satu peranan paling awal ialah mendidik anak untuk mendirikan solat sejak kecil. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.”

(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menyuruh ibu  bapa mengajar anak-anak mengerjakan solat pada umur mereka mencapai tujuh tahun. Pada waktu inilah bermulanya pendidikan mengenai solat kepada kanak-kanak. Mereka sepatutnya sudah mula diajarkan cara-cara menunaikan solat dan mengenali institusi masjid. Inilah tarbiyyah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu dalam Islam. Pepatah Melayu kata, “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Dengan cara ini barulah dapat melahirkan anak-anak yang elok sifatnya, cemerlang, sopan-santun akhlaknya, dan sebagainya apabila menempuh alam remaja dan dewasa kelak.

Namun, berita di akhbar & televisyen menunjukkan perkara yang bercanggah. Budaya Hedonisme sebaliknya yang menguasai rakyat 1Malaysia. Sewaktu sambutan Ma’al Hijrah, kita mendengar di sebelah malamnya konsert hiburan diadakan. Contohnya di Muar, konsert muzik besar-besaran telah berlangsung dari awal fajar menyinsing hingga larut malam. Dan semalam, semasa sambutan tahun baru Masihi 2010, sekali lagi konsert yang berbentuk hiburan semata-mata ini diadakan. Tanpa tujuan. Semuanya kerana ingin memenuhi kelazatan dan keseronokan atau hiburan itu saja! Lazat, lazat, lazat! Selepas mendapat kelazatan itu apa??

Konsert yang melalaikan dan menghancurkan inilah yang meruntuhkan tiang agama. Heboh berduyun-duyun tidak kira anak kecil atau dah tua bangka ke konsert sampaikan tak solat. Solat itu kan tiang agama.  Kalau tak solat berbondong-bondong, berbondong-bondong jugalah yang meruntuhkan agama. Maka memang tak hairan jika bertimbun-timbun masalah yang Allah timpakan ke atas Malaysia hari ini.

Bukan tak boleh… Islam juga membenarkan muzik dan hiburan. Hiburan dalam Islam juga seronok, kerana ia menjaga batas-batas yang ditentukan oleh syara’. Islam menolak sensasi seni dan hiburan yang keterlaluan. Nak buat apa pun, tentulah ada isi dan panduannya. Justeru hidup tanpa hala atau bermuzik dan berhibur tanpa tujuan, atau hanya untuk tujuan seronok-seronok, maka Allah telah menyebut hal ini dengan tegas:

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Al-Mu’minun: 115)

Daripada Allah kita datang, maka kepada Allah juga kira kembali. Muzik itu asalnya merupakan satu bunyi dan datangnya dari Dia. Ketika di alam roh, kita sudah mendengar bunyi iaitu kita sudah ditanyai oleh Allah satu soalan, “Bukankah Aku Tuhanmu?”. Dan kita sama-sama menjawab dengan janji yang teguh, iaitu “Ya, kami naik saksi”. Semasa berlakunya hari kiamat nanti juga akan terdengar satu bunyi iaitu bunyi tiupan sangkakala Malaikat Israfil.

Kalau muzik tidak kembali kepada sumbernya, itulah jenis muzik sesat yang dianjurkan oleh Barat. Muzik yang baik, yang dianjurkan dalam Islam ialah muzik yang bertujuan. Muzik yang bijaksana ialah muzik yang kalau dimainkan atau perdengarkan akan melembutkan hati yang keras, membangkitkan jiwa yang tidur, menemukan jalan pulang kepada jiwa yang sesat, menjadikan hati yang alpa kembali ingat, hingga mereka yang memainkan atau mendengarkannya mahukan dunia yang penuh kerohanian dan langsung mengenepikan dunia yang fana dan rosak, lalu terbebas daripada kongkongan benda supaya hanya menghadap Kebenaran. Allah berfirman:

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

(Ar-Ra’d: 28)

Fikir-fikirkan…


p/s: panjang pulak luahan kali ni. (>_<)


5 comments so far

  1. Zinnirah Al Jannah on

    Memang panjang tapi saya habis baca sebab tiada unsur2 kucing~😛

    p/s: Terima kasih gambar muslimat2 itu semua~ Ada masa, saya explore Deviantart~😀

    • aMeL on

      oo0oo kalo ade kuceng takble habis r…?

      p/s: tak suruh pun… saya gtau je dpt dari mana.

  2. meSuraya on

    selamat tahun baru kamel!🙂

  3. zuwairiaiman on

    selamat tahun baru kamel… semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya

    • aMeL on

      SELAMAT TAHUN BARU awakSuraya & Zu!!!😀


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: