Niat + Ikhlas

Terjemahan:

Dari Amir al- Mu’minin Abu Hafs Umar Ibn Khattab radiallahu ‘anh, katanya: Aku dengar Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang itu apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

Hadis ini diriwayatkan oleh dua Imam hadis iaitu Abu ‘Abdullah Muhammad Ibn Ismai’l Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari (Imam Bukhari) dan Abu al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi (Imam Muslim) dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang amat sahih di antara segala kitab yang pernah disusunkan.

Niat

Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW bersabda bahwa “Hanya segala amal adalah dengan niat.” Niat merupakan perkara pertama untuk kita bertindak melakukan sesuatu. Niat dari segi bahasa bermaksud qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati). Menurut istilah syara’, niat bermaksud tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintahNya. Dengan adanya tujuan yang lahir dari hati barulah kita mempunyai kehendak untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal.

Niat seseorang juga boleh terbahagi kepada dua sama ada baik atau jahat bergantung kepada arah tujuan dan ketentuan maksudnya. Setiap apa yang diniatkan oleh seseorang itu tidak kira baik atau jahat, akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang telah diniatkan. Menurut pendapat para ulama’, terdapat perbezaan amal ibadat dengan adat atau rutin yang dilakukan setiap hari:

  1. Duduk di dalam masjid kerana beriktikaf dengan berehat atau mandi kerana kewajipan syara’ dengan mandi kerana kebiasaan adalah sama keadaannya. Tetapi yang menbezakan adalah niat.
  2. Solat dan puasa yang wajib adalah sama keadaannya dengan solat dan puasa sunat, kerana semuanya merupakan ibadah. Apa yang membezakan antara jenis & martabatnya ialah niat atau qasad orang yang melakukannya.

Moh kite sungguh-sungguh~

Ikhlas

Solat yang wajib yang didirikan dengan niat hanya kerana Allah dianggap sah, diterima serta akan diberikan ganjaran baik yang setimpal dengannya. Inilah contoh yang dinamakan ikhlas dalam mengerjakan sesuatu amalan. Keikhlasan dalam melakukan apa jua  perkara memang diakui amat sukar untuk dicapai. Namun amalan yang ikhlas inilah yang diperintahkan Allah dalam Surah Al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud:

“Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama keranaNya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”

Amal juga tebahagi dua iaitu amal yang ikhlas dan amal yang tidak ikhlas. Imam Nawawi memberi keterangannya mengenai amal disertai dengan niat yang baik, telah berkata bahawa amal ini ada tiga bahagian:

  1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
  2. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
  3. Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seseorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.

Kesemua bahagian amal di atas merupakan amal ibadat yang ikhlas, hanya berlainan kerana terletak pada bahagian-bahagian yang berbeza. Saya percaya, di dunia ini terdapat ramai manusia yang melakukan amal dengan ikhlas tergolong dalam bahagian yang ketiga. Amat sedikit sekali yang beramal tergolong dalam bahagian yang pertama.

Kesimpulannya, niat yang terselit dalam hati itulah punca yang menentukan balasan atau akibat sesuatu amal atau perkerjaan.  Akan baik amal seseorang itu jika baik niatnya, jahat dan buruklah amal itu jika niatnya jahat sekalipun pada zahirnya amal itu baik. Ketahuilah, amal ibadat yang baik dan ikhlas merupakan satu jalan yang membolehkan sekiranya kita berdoa memohon hajat, insyaAllah hajat tersebut akan dikabulkan seperti mana yang kita hajatkan, malah mungkin lebih dari itu.

7 tanda keikhlasan

Niat
Hanya kerana Allah
Mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah
Dengan kerelaan sendiri
Untuk kebaikan
Dilakukan dengan bersungguh-sungguh
Rasa tanggungjawab

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: